Sejarah Sekolah

Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 17 Shah Alam telah didirikan dalam bulan Oktober 1984 secara "Projek Kilat" demi untuk memenuhi keperluan setempat pada masa itu.

Pada awal pembukaanya, sekolah ini hanya mempunyai 13 orang guru dan dibantu oleh 2 kakitangan sokongan dengan jumlah murid kira-kira 200 orang sahaja.

Bermula dengan bangunan asal sekolah hanya mengandungi 3 blong pasang siap, sekolah ini terus tersergam indah dengan pertambahan konkrit setinggi 3 tingkat pada tahun 1988.

Seterusnya beberapa kemudahan lain seperti perpustakaan, padang permainan dan kantin juga telah dibina. Pada masa tersebut, lencana sekolah yang bermottokan "Berilmu Berjaya" dan juga lagu sekolah yang berjudul sama telah diilhamkan bersama 4 orang guru, manakala melodinya pula telah digubah oleh Encik Abdul Hamid, seorang pensyarah.

Seiring dengan pertambahan bangunan, peningkatan bilangan murid dan seterusnya jumlah tenaga pengajar dan juga kakitangan sokongan sekolah ini, tersemat kukuh satu semangat yang membara di sanubari setiap warga pendidik untuk melahirkan kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di kalangan warga Sekolah Kebangsaan Seksyen 17 Shah Alam dalam apa jua bidang yang diceburi.

Berbekalkan motto "Berilmu Berjaya" Sekolah Kebangsaan Seksyen 17 Shah Alam juga tidak pernah ketinggalan menyertai pelbagai aktiviti kurikulum mahupun kokurikulum dan akan terus berusaha untuk melakarkan kejayaan demi kejayaan.

Guru Besar pertama yang berkhidmat di sekolah ini adalah Tuan Haji Mohd Ali bin Haji Abdullah dan silih berganti sehingga sekarang sekolah ini diterajuai oleh Puan Hajah Maah binti Haji Rosdin.

No comments: